Pening memikirkan lokasi berbuka puasa? Apa kata anda cuba bufet Ramadan yang ditawarkan pihak Intekma Resort & Convention Centre (IRCC). Selain dapat merasai keenakan juadah hidangan masakan Melayu pada harga berpatutan iaitu RM55 untuk dewasa dan RM27 untuk kanak-kanak, anda juga boleh menikmati waktu iftar anda dalam suasana ala ‘Moroccan’.
Gabungan unik ini pasti akan menaikkan deria rasa serta membangkitkan selera anda tatkala menikmati hidangan yang tersedia. Bufet Ramadan IRCC menyediakan lebih daripada 6 gerai yang terdiri daripada aneka jenis makanan seperti Sup Tulang Berempah, Gulai Perut, Rendang Daging, Bubur Lambok, Laksa dan pelbagai seleksi pencuci mulut. Untuk tempahan, hubungi 03-55225009 / 5001 / 5222 / 5066.
Kari Kepala Ikan
Hidangan utama yang wajib dirasai oleh pengunjung. Baunya saja sudah membangkitkan selera apatah lagi apabila anda merasai sendiri hidangan ini. Selain dimewahi dengan rasa rempah ratus, kelazatan hidangan yang disediakan Ketua Chef, Rosman bin Hussin ini turut terletak pada kepekatan kuahnya di mana chef menggunakan buah keras untuk mewujudkan rasa ‘lemak’ pada kuah tersebut.
Kambing Bakar
Daging kambing yang dibakar tidak terlalu kering dan masih boleh dinikmati rasa ‘juicy’-nya. Daging tidak terlalu liat dan rasa perapan rempah kari dapat dirasai saat anda mengunyahnya. Hidangan kambing bakar ini didatangkan bersama dua pilihan sos iaitu lada hitam dan rosemary.
Murtabak
Rasa sedap menu signature ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Murtabak ayam dan daging bertambah enak apabila dihidangkan bersama kuah dalcha dan kari ayam. Sekeping sahaja sudah rasa kenyang kerana saiz dan isinya yang besar serta tebal.
Bubur Cha Cha
Hidangan pencuci mulut zaman berzaman ini tidak terlalu manis dan sangat menyelerakan. Dengan ramuan seperti santan, gula pasir dan daun pandan, hidangan ini menjadi pelengkap sempurna waktu berbuka puasa anda.
Kalau ke bazar Ramadan, mulalah rambang mata. Bermacam-macam juadah ingin dibeli.
Kali ini, JJCM ingin mencuba beberapa makanan ‘all about ayam’ di Bazar Ramadan Kelana Jaya. Terdapat pelbagai jenis masakan ayam seperti ayam golek, ayam tempayan, ayam percik, sate ayam dan banyak lagi yang dijual di bazar tersebut.
Ayam Percik (RM7)
Walaupun terdapat banyak gerai yang menjual ayam percik, namun ada satu yang menjadi tumpuan ramai. Ayam percik dibakar di tapak bazar, oleh itu, pelanggan pasti akan mendapatkan ayam percik yang masih panas.
Dari segi rasa kuah percik, ia pedas dan sedikit manis. Malah penjual tidak kedekut untuk memberi kuah lebih. Ayam pula sedikit kering, mungkin dibakar terlalu lama.
Kepak Ayam Madu (RM5 / 4pcs)
Sedikit mengecewakan kerana terlalu banyak pewarna merah yang disalut pada ayam. Tapi kepak ayam ini dibakar sempurna kerana isi ayam lembut tapi garing pada kulit. Dari segi rasa, kepak ayam ini agak manis.
Kebab Ayam (RM5)
Presentation kebab ini mungkin tidak begitu menarik. Tapi ini merupakan kebab terbaik dari segi rasa.
Dibalut menggunakan roti tortilla homemade, isi ayam dalam kebab ini banyak. Malah, ia diperap dengan rempah-rempah yang dapat menyerlahkan rasa kebab.
Pelanggan juga boleh pilih sama ada mahu cheese ataupun extra chicken pada harga yang berbeza.
Selain orangnya yang manis, Kelantan tidak perlu diperkenalkan lagi tentang makanannya yang menjadi glucose fix, apatah lagi di bulan puasa sebegini.
Beko
Adunan tepung pulut yang menjadi bahan utama menjadikan kuih ini kenyal dikunyah. Setiap kunyahan pasti merasakan aroma wangi kelapa yang disertakan rasa lemak bersulam kemanisan gula.
Tahi Itik
Jangan sesekali menghakimi sesuatu kerana namanya kerana meskipun kedengaran pelik, penggemar makanan manis tidak mustahil akan jatuh cinta bila kali pertama menikmati tahi itik. Putih telur, santan, gula, tepung pulut dan tepung beras menerbitkan sensasi manis yang cair di tunas rasa.
Jala Mas
Bahan asasnya kuning telur itik dan gula. Namanya bersempena teksturnya seakan bertali dan jala. Jangkakan kemanisan berganda kerana kuning telur itik disira dalam air gula untuk menghasilkan manisan asal Pantai Timur ini.
Bazar Ramadan memang menjadi tumpuan ramai setiap kali bulan puasa menjelma. Lokasi selera bermusim ini menawarkan pelbagai hidangan membuka selera sehingga rambang mata dibuatnya.
Bagaimanapun, anda harus bijak memilih makanan yang ingin dibeli. Jangan terlebih beli sehingga berlaku pembaziran.
JJCM sempat singgah ke Bazar Ramadan Seksyen 18, Shah Alam baru-baru ini. Memandangkan bazar ini tidak terlalu besar, jadi tidak perlu banyak masa untuk menjenguk satu demi satu gerai yang tersedia.
Berikut 5 Menu Jimat yang sempat JJCM sambar untuk berbuka puasa!
Kuih Tepung Pelita (RM2, 4 biji)
Terdapat beberapa gerai yang menjual menu ini, tetapi Inn Tepung Pelita yang menjadi pilihan kerana gerai ini dilihat menjadi tumpuan ramai. Biarpun harganya lebih mahal berbanding tahun lalu, tetapi rasanya tidak mengecewakan. Lemak santannya segar dan rasanya tidak terlalu manis.
Bubur Nasi Ayam (RM5)
Dari jauh lagi keharuman sup dari gerai Sup Utara Warisan Ayah ini memanggil-manggil. Biarpun ada menu-menu lain yang tersedia, tetapi Bubur Nasi menjadi pilihan kerana rencahnya nampak ‘meriah’ dan isinya banyak.
Rasanya? Memenuhi selera kerana supnya enak. Bagaimanapun, agak mengecewakan kerana tidak ada ikan bilis atau telur masin.
Nasi Daging Goreng Kunyit (RM5)
Dengan harga yang ditawarkan, menu ringkas popular dari Modern Kunyit Exclusive Kampung ini memang berbaloi untuk dibeli. Saiz hidangannya berbaloi dengan harga.
Daging kunyit digoreng bersama sayuran campur yang terdiri daripada lobak merah, kobis bunga dan kacang panjang. Terdapat juga sambal belacan sebagai pelengkap rasa.
Biarpun dagingnya lembut tetapi rasanya agak masin.
Roti Goreng Ayam Cheese (RM3)
Hanya ada satu gerai yang menjual menu ini. Nampak menyelerakan dengan sos keju di atas roti. Mujur rasanya tidak mengecewakan.
Sedap! Isi ayam dan sayuran mencukupi. Tidak perlu tambahan sos cili kerana bahan-bahannya sudah cun!
Jus Mangga (RM3)
Memang banyak kedai yang menjual air minuman ini. Jadi, JJCM beli untuk mencuba rasanya. Lagipun untuk jus segar, harga yang ditawarkan cukup murah.
Rasanya memang sedap kerana tiada campuran cordial. Terasa segar apabila diteguk dan yang paling penting rasanya tidak terlalu manis.
Bazar Ramadan ini tidak kurang popularnya di kalangan penduduk setempat. Dianggarkan terdapat lebih 100 buah gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa. Satu keistimewaan bazar ini ialah, peniaga menjual makanan pada harga berpatutan, sesuai dengan rasa dan kuantiti.
Kalau mahu mencari makanan yang mampu membangkitkan memori ketika berbuka puasa di kampung, JJCM ada cadangan!
Nasi Ambeng (RM6)
Makanan istimewa orang Jawa ini memang selalu ada di bazar Ramadan ini. Bagaimanapun, kena pilih-pilih juga kerana bukan semuanya memenuhi selera.
Atas cadangan seorang rakan, JJCM dapatkan Nasi Ambeng Warisan. Memang terbaik. Sesuai dengan namanya, masih ada ciri-ciri keasliannya.
Berlaukkan Ayam Masak Kicap, Sambal Kelapa, Sayur Campur Suhun, Mi Goreng dan tidak ketinggalan, Ikan Masin Goreng. Saiz hidangan juga besar. Sebungkus nasi boleh dimakan berdua.
Gulai Kawah (RM4)
Pada hari pertama puasa, hanya ada satu gerai yang menjual menu ini. Melihat kepada cara hidangannya, ia nampak menyelerakan. Setelah dimakan, rasanya tidak mengecewakan.
Daging lembu cukup lembut, kuah gulainya juga cukup rencahnya. Boleh dimakan bersama nasi putih, roti jala atau roti putih. Paling penting, harganya murah.
Ikan Pekasam (RM5)
Orang Utara memang suka menikmati Ikan Pekasam yang dimakan bersama nasi panas. Harga hidangan ini tidaklah terlalu murah. Di antara RM4 ke RM6. Bergantung kepada saiz ikan.
Berbaloi untuk dibeli kerana ia turut digoreng bersama cili merah dan juga bawang. Rasanya juga boleh tahan kerana ikan tidak berbau.
Tapai Ubi (RM2 sebungkus)
Tapai Ubi memang enak dimakan sebagai pencuci mulut. Bagaimanapun kalau tidak pandai membuatnya, rasanya tidak ‘menjadi’.
Kalau mahu dapatkan Tapai Ubi ini, cari gerai yang hanya menjual menu ini dan pecal. Tidak susah kerana pasti akan terlihat gerai yang mejanya dipenuhi dengan Tapai Ubi. Percayalah, anda akan berpuas hati dengan rasanya.
Menyajikan "world menu", di mana hidangan merangkumi antaranya, sajian Barat, Korea dan tempatan.
Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!
Diuruskan oleh pemilik Sara Thai Kitchen, Sara Boat Noodle dikatakan restoran boat noodle pertama di Kuantan.
Menghidangkan masakan asli Johor. Antara yang menjadi kegemaran pengunjung Lontong Goreng Seafood dan Mee Bandung.