Bazar Ramadan ini tidak kurang popularnya di kalangan penduduk setempat. Dianggarkan terdapat lebih 100 buah gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa. Satu keistimewaan bazar ini ialah, peniaga menjual makanan pada harga berpatutan, sesuai dengan rasa dan kuantiti.
Kalau mahu mencari makanan yang mampu membangkitkan memori ketika berbuka puasa di kampung, JJCM ada cadangan!
Nasi Ambeng (RM6)
Makanan istimewa orang Jawa ini memang selalu ada di bazar Ramadan ini. Bagaimanapun, kena pilih-pilih juga kerana bukan semuanya memenuhi selera.
Atas cadangan seorang rakan, JJCM dapatkan Nasi Ambeng Warisan. Memang terbaik. Sesuai dengan namanya, masih ada ciri-ciri keasliannya.
Berlaukkan Ayam Masak Kicap, Sambal Kelapa, Sayur Campur Suhun, Mi Goreng dan tidak ketinggalan, Ikan Masin Goreng. Saiz hidangan juga besar. Sebungkus nasi boleh dimakan berdua.
Gulai Kawah (RM4)
Pada hari pertama puasa, hanya ada satu gerai yang menjual menu ini. Melihat kepada cara hidangannya, ia nampak menyelerakan. Setelah dimakan, rasanya tidak mengecewakan.
Daging lembu cukup lembut, kuah gulainya juga cukup rencahnya. Boleh dimakan bersama nasi putih, roti jala atau roti putih. Paling penting, harganya murah.
Ikan Pekasam (RM5)
Orang Utara memang suka menikmati Ikan Pekasam yang dimakan bersama nasi panas. Harga hidangan ini tidaklah terlalu murah. Di antara RM4 ke RM6. Bergantung kepada saiz ikan.
Berbaloi untuk dibeli kerana ia turut digoreng bersama cili merah dan juga bawang. Rasanya juga boleh tahan kerana ikan tidak berbau.
Tapai Ubi (RM2 sebungkus)
Tapai Ubi memang enak dimakan sebagai pencuci mulut. Bagaimanapun kalau tidak pandai membuatnya, rasanya tidak ‘menjadi’.
Kalau mahu dapatkan Tapai Ubi ini, cari gerai yang hanya menjual menu ini dan pecal. Tidak susah kerana pasti akan terlihat gerai yang mejanya dipenuhi dengan Tapai Ubi. Percayalah, anda akan berpuas hati dengan rasanya.