Pening memikirkan lokasi berbuka puasa? Apa kata anda cuba bufet Ramadan yang ditawarkan pihak Intekma Resort & Convention Centre (IRCC). Selain dapat merasai keenakan juadah hidangan masakan Melayu pada harga berpatutan iaitu RM55 untuk dewasa dan RM27 untuk kanak-kanak, anda juga boleh menikmati waktu iftar anda dalam suasana ala ‘Moroccan’.
Gabungan unik ini pasti akan menaikkan deria rasa serta membangkitkan selera anda tatkala menikmati hidangan yang tersedia. Bufet Ramadan IRCC menyediakan lebih daripada 6 gerai yang terdiri daripada aneka jenis makanan seperti Sup Tulang Berempah, Gulai Perut, Rendang Daging, Bubur Lambok, Laksa dan pelbagai seleksi pencuci mulut. Untuk tempahan, hubungi 03-55225009 / 5001 / 5222 / 5066.
Kari Kepala Ikan
Hidangan utama yang wajib dirasai oleh pengunjung. Baunya saja sudah membangkitkan selera apatah lagi apabila anda merasai sendiri hidangan ini. Selain dimewahi dengan rasa rempah ratus, kelazatan hidangan yang disediakan Ketua Chef, Rosman bin Hussin ini turut terletak pada kepekatan kuahnya di mana chef menggunakan buah keras untuk mewujudkan rasa ‘lemak’ pada kuah tersebut.
Kambing Bakar
Daging kambing yang dibakar tidak terlalu kering dan masih boleh dinikmati rasa ‘juicy’-nya. Daging tidak terlalu liat dan rasa perapan rempah kari dapat dirasai saat anda mengunyahnya. Hidangan kambing bakar ini didatangkan bersama dua pilihan sos iaitu lada hitam dan rosemary.
Murtabak
Rasa sedap menu signature ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Murtabak ayam dan daging bertambah enak apabila dihidangkan bersama kuah dalcha dan kari ayam. Sekeping sahaja sudah rasa kenyang kerana saiz dan isinya yang besar serta tebal.
Bubur Cha Cha
Hidangan pencuci mulut zaman berzaman ini tidak terlalu manis dan sangat menyelerakan. Dengan ramuan seperti santan, gula pasir dan daun pandan, hidangan ini menjadi pelengkap sempurna waktu berbuka puasa anda.