SALTed, buat anda yang mungkin tidak tahu, merupakan singkatan untuk Sarawak Authentic Local Taste Extra Delicious.
Beroperasi di Mutiara Damansara, ia antara segelintir restoran yang mengkhusus dalam makanan Sarawak. Sejak pembukaannya, restoran tersebut mendapat maklum balas positif daripada anak-anak jati Bumi Kenyalang. Pendek kata, jika hendak mencari hidangan Sarawak yang autentik, SALTed-lah tempatnya.
Tetapi jangan terkejut tatkala melihat menu mereka. Pilihan makanan tidaklah banyak, hanya memberi tumpuan kepada beberapa item penting sahaja. Ada baiknya, tidaklah pening kepala memikirkan apa yang hendak dipesan.
Jika datang bersama beberapa orang teman, tidak mustahil untuk dipesan semua hidangan dalam menu. Lagipun, harga setiap satunya amat berpatutan.
Kita mulakan dengan Sarawak Laksa. Yang basic, berharga RM6.00 dan didatangkan dengan hirisan telur dan ayam. Dari segi portion, basic is just nice buat kaum Hawa. Supnya tidak terlalu pekat atau berlemak, serba-serbi cukup dari segi perisa.
Beransur pula ke Kolo Mee (RM8.50). Menilai pada luarannya, memang tiada yang menarik. Mee-nya putih, tampak plain dengan daging cincang yang sama pucat warnanya. Namun, bak kata pepatah Inggeris, Don’t judge a book by its cover.
Gaulkan mee dan daging cincang sehingga sebati dengan kuahnya. Kemudian, ambil satu suapan besar. Letusan rasa dan tesktur dari kombinasi kuah, daging cincang dan mee akan membuat anda terpegun seketika. Enak sekali!
Sebagai amaran awal, Belacan Beehoon (RM9.50 + telor padi) bukan untuk semua orang. Tetapi saranan admin, cuba dulu kerana pada awalnya admin juga membuat muka bila ditanya jika ingin memesan hidangan unik ini.
Akhirnya, admin yang paling banyak makan sebab ‘kena’ dengan tekak. Rasa belacannya tidak terlalu ketara, sekadar memberi hidangan itu satu sentuhan bau dan rasa geragau yang harum dan menyelerakan. Telor padi menyumbang elemen lemak-lemak kepada hidangan.
Hidangan terakhir yang dipesan, Kacangma atau Motherwort Chicken (RM10.00). Asalnya, hidangan ini disajikan orang Hakka kepada para ibu dalam tempoh pantang. Tetapi hari ini, ia telah menjadi hidangan popular dan kegemaran ramai warga Sarawak.
Semuanya diakhiri dengan segelas Teh C Peng Special Apong (RM5.00). Jika diamati, teh ini ada tiga lapis bermula dengan gula apong di bahagian bawahnya. Gula apong merupakan gula yang dihasilkan daripada nira nipah. Ini diikuti dengan lapisan susu di bahagian tengah dan di atasnya, lapisan teh. Manis dan terbaik!
Secara peribadi, SALTed wajar dikunjungi bukan sekadar untuk mengenali hidangan asli Sarawak tetapi buat anda yang mencari makanan yang sedap pada harga yang mesra rakyat.