Shopping raya di Wisma Jakel dengan tenang tanpa risau mencari tempat untuk berbuka puasa kerana Hotel Silka Maytower yang terletak berhadapan dengan gedung membeli-belah itu menawarkan buffet buka puasa bertemakan Makanan Tradisi pada harga berpatutan. Antara hidangan yang disediakan termasuk Ayam Masak Merah Bermadu, Kambing Kurma Dengan Ubi Kentang dan Rebung Masak Lemak Dengan Daging Lembu.
Berharga RM90 untuk dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak dari 4 - 12 tahun, seleksi makanan lain yang terdapat di buffet Ramadan ini adalah lemang, ketupat palas, rendang, ikan masin, keropok, salad, sup, ikan bakar dan pencuci mulut. Diskaun 50% diberikan kepada warga emas berusia 55 tahun ke atas dan juga kepada mereka yang membuat tempahan untuk tiga hari pertama dan tiga hari terakhir dalam bulan Ramadan.
Ayam Masak Merah Bermadu
Disediakan oleh Chef Eksekutif hotel ini sendiri, Chef Fazi, kesemua masakan bersambal mempunyai signature tersendiri termasuk juadah ini. Ayam dimasak sempurna dan rasa pedas manis hidangan ini mampu membangkitkan selera.
Kambing Kurma Dengan Ubi Kentang
Walaupun daging kambing begitu lembut namun hidangan ini biasa-biasa saja. Bukanlah tidak sedap, cuma tidak begitu istimewa jika dibandingkan dengan hidangan lain.
Rebung Masak Lemak Dengan Daging Lembu
Dari segi rasa, ia memang satu hidangan yang enak kerana cukup santan dan bahan perasa lain. Cuma juadah ini agak mengelirukan kerana tidak tahu apa atau siapa star yang ingin diketengahkan, adakah rebung atau daging lembu kerana isi daging banyak tapi rebung kurang.