Jika hendak dipilih satu hidangan yang mewakili Malaysia, pastinya Nasi Lemak. Hidangan kegemaran majoriti, tidak kira bangsa atau usia.
Nasi Lemak yang sempurna adalah nasi panas yang harum dengan wangian daun pandan dan kaya dengan lemak santan, dipadankan dengan sambal yang seimbang rasa manis, pedas dan masinnya.
Warung Nasi Lemak Place di Kuantan, Pahang menempa nama di kalangan penggemar nasi lemak kerana berjaya menyediakan sajian nasi lemak yang menepati kriteria-kriteria tersebut.
Sambalnya dimasak menggunakan lada giling asli dicampur dengan ikan bilis yang telah dikisar halus.
Jika ke sini, disarankan mencuba nasi lemak yang lain daripada biasa.
Sebagai contoh, Nasi Lemak Ikan Tongkol (RM6.50).
Belum cuba belum tahu keenakkan kombinasi nasi lemak dengan sambal ikan tongkol.
Jika ikan tongkol dirasakan mainstream, apakata padankan nasi lemak anda dengan burung puyuh goreng, Nasi Lemak Burung Puyuh (RM8.50)?
Buat yang tertanya, daging burung puyuh dikatakan lagi manis daripada ayam kampung.
Tak kurang enaknya, chicken chop mereka, Nasi Lemak Chicken Chop (RM9.90).
Ayam yang digoreng rangup dinikmati bersama sambal.
Jika gemarkan daging, selain rendang daging ada juga daging dendeng, Nasi Lemak Daging Dendeng (RM6.50).
Dagingnya kenyal dan cukup perapan rempahnya. Memang sesuai sekali dijamah bersama nasi lemak.
Berbakat juga chef menyediakan hidangan kambing bakar, Nasi Lemak Kambing Bakar (RM13.90).
Daging kambingnya lembut.
Dari segi permainan rasa, rasa masin dari ikan bilis goreng dan kambing diseimbangkan dengan sambal yang manis-manis dan pedas-pedas.
Hidangan Nasi Lemak Goreng (RM6.90) dihasilkan dari resipi pemilik sendiri.
Asasnya nasi lemak, cuma di sini nasinya telah digoreng.
Sebagai hidangan tambahan, pilih antara Tauhu Bunga Keju (RM7.00) yang berintikan ayam dan keju mozarella, atau...
Tauhu Begedil (RM6.00), berisikan kentang dan daging digoreng garing.