Admin sudah lama tergerak hati ingin ke tempat yang admin gambarkan sebagai "dibawah papan iklan besar sebelah Lebuhraya Damansara Puchong dengan lampu kuning hipster menyala".
Restoran yang dinamakan The Billboard ini mula beroperasi sekitar Februari 2018. Buat mereka yang sudah berkesempatan ke sini, ia kini menjadi antara singgahan kegemaran tatkala kempunan hidangan Western.
Gambar dari @thebillboardofficial
Kunjungan admin ke sini pada hari Sabtu. Seperti yang dijangka, setiap ruang meja dan kerusi sudah ada penghuninya. Suasana meriah dengan alunan muzik dari live band yang sedang membuat persembahan serta kicauan perbualan dari para pengunjung.
Tetapi nasib menyebelahi admin, dalam masa beberapa minit petugas The Billboard telah menguruskan isu tempat duduk. Makanan dan minuman pula sampai dalam masa yang dikira agak pantas memandangkan jumlah pengunjung yang ada.
Gambar dari @thebillboardofficial
Yang memakan masa, membelek menu yang berjumlah 32 muka surat dan memutuskan apa yang ingin dijamah. Barangkali, boleh dikira sebagai perkara yang baik bila petugas yang mengambil pesanan kami memaklumkan hidangan Local Fusion tidak disediakan pada malam itu.
Kami memesan Wings - Kimchi Style (Mild Spicy) (RM19.00), Seafood Marinara (RM18.00) dan Peri-Peri Chicken (Half Chicken / Roast / Spicy) (RM18.00).
Kepak ayam digoreng rangup sebelum digaulkan dengan sos kimchi. Ayamnya rangup di bahagian kulit namun dagingnya masih tender dan juicy. Sos-nya tidak pedas biarpun dikatakan “mild spicy”, lebih kepada rasa manis tomato. Kombinasi sos dengan kepak ayam goreng memang enak.
Wings - Kimchi Style
Hidangan pasta yang sampai ke meja mengejutkan kami seketika. Besarnya pinggan (!), dipenuhi dengan spaghetti yang dimasak dengan sos marinara dan makanan laut. Mengingatkan admin kepada saiz hidangan yang menjadi trademark Williams Corner di Taman Mayang. Memang mengenyangkan dan memuaskan hati!
Seafood Marinara
Jangan disangkakan Peri Peri Chicken merujuk kepada ayam yang dimasak dengan sos Peri-Peri dari Nando’s. Ayam dimasak secara ‘slow cook’, antara enam hingga 12 jam, sebelum dibakar. Ini sekaligus memastikan daging ayam kekal lembut dan berjus.
Chicken Peri-Peri
Bila dijamah, ayamnya terasa kosong kerana tiada perapan, hanya ada rasa mentega yang tidaklah terlalu kuat. Untuk mendapatkan rasa sepenuhnya, ayam perlu dicicah dalam sos peri-peri yang sedikit masam, tidaklah pedas mana pun (biarpun gambaran menu menyatakan ia “sos pedas”), lemak dan berkrim.
Sebagai kunjungan pertama, admin jujur mengatakan makanan yang disajikan secara keseluruhannya, enak. Berbaloi untuk kembali lagi bagi mencuba hidangan yang lain.