Mengangkat tema ‘Sajian Tradisional’, Restoran Duyong di Kelab Darul Ehsan Ampang Jaya menampilkan kelainan dengan menyediakan pesta juadah istimewa hidangan Melayu yang pasti menambat citarasa pengunjung. Dengan harga RM68 bersih untuk dewasa, anda boleh menikmati lebih 70 juadah menyelerakan sehingga jam 10 malam.
Ayam Percik Kelantan
Juadah popular di setiap bulan Ramadan ini memang patut dicuba. Isi ayam lembut dan cukup perisa ditambah pula dengan kuah santan yang menambat selera.
Daging Masak Hitam Brunai
Biarpun ia dinamakan dengan Daging Masak Hitam Brunai, tetapi rasanya tidak jauh beza dengan Daging Masak Hitam Perak. Rempah-ratus yang digunakan tidak banyak beza. Daging cukup empuk dan rasanya memang sedap sehingga boleh diulang makan beberapa kali.
Siput Sedut Lemak Cili Api Dan Keladi
Hidangan ini memang terbaik. Chef di sini menggunakan santan, bukan susu isian sejat atau susu krimer. Tapi jika anda bukan peminat makanan pedas, mungkin hidangan ini terlalu pedas untuk anda. Percayalah, rasa sekali pasti hendak lagi.
Ketam Berlada Cili Manis
Peminat makanan laut pasti tidak mahu lepaskan hidangan yang satu ini. Ketam yang digunakan isinya masih segar dan manis. Ada rasa pedas, manis dan masin. Boleh dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja kerana rasanya cukup enak.