Bazar Ramadan memang menjadi tumpuan ramai setiap kali bulan puasa menjelma. Lokasi selera bermusim ini menawarkan pelbagai hidangan membuka selera sehingga rambang mata dibuatnya.
Bagaimanapun, anda harus bijak memilih makanan yang ingin dibeli. Jangan terlebih beli sehingga berlaku pembaziran.
JJCM sempat singgah ke Bazar Ramadan Seksyen 18, Shah Alam baru-baru ini. Memandangkan bazar ini tidak terlalu besar, jadi tidak perlu banyak masa untuk menjenguk satu demi satu gerai yang tersedia.
Berikut 5 Menu Jimat yang sempat JJCM sambar untuk berbuka puasa!
Kuih Tepung Pelita (RM2, 4 biji)
Terdapat beberapa gerai yang menjual menu ini, tetapi Inn Tepung Pelita yang menjadi pilihan kerana gerai ini dilihat menjadi tumpuan ramai. Biarpun harganya lebih mahal berbanding tahun lalu, tetapi rasanya tidak mengecewakan. Lemak santannya segar dan rasanya tidak terlalu manis.
Bubur Nasi Ayam (RM5)
Dari jauh lagi keharuman sup dari gerai Sup Utara Warisan Ayah ini memanggil-manggil. Biarpun ada menu-menu lain yang tersedia, tetapi Bubur Nasi menjadi pilihan kerana rencahnya nampak ‘meriah’ dan isinya banyak.
Rasanya? Memenuhi selera kerana supnya enak. Bagaimanapun, agak mengecewakan kerana tidak ada ikan bilis atau telur masin.
Nasi Daging Goreng Kunyit (RM5)
Dengan harga yang ditawarkan, menu ringkas popular dari Modern Kunyit Exclusive Kampung ini memang berbaloi untuk dibeli. Saiz hidangannya berbaloi dengan harga.
Daging kunyit digoreng bersama sayuran campur yang terdiri daripada lobak merah, kobis bunga dan kacang panjang. Terdapat juga sambal belacan sebagai pelengkap rasa.
Biarpun dagingnya lembut tetapi rasanya agak masin.
Roti Goreng Ayam Cheese (RM3)
Hanya ada satu gerai yang menjual menu ini. Nampak menyelerakan dengan sos keju di atas roti. Mujur rasanya tidak mengecewakan.
Sedap! Isi ayam dan sayuran mencukupi. Tidak perlu tambahan sos cili kerana bahan-bahannya sudah cun!
Jus Mangga (RM3)
Memang banyak kedai yang menjual air minuman ini. Jadi, JJCM beli untuk mencuba rasanya. Lagipun untuk jus segar, harga yang ditawarkan cukup murah.
Rasanya memang sedap kerana tiada campuran cordial. Terasa segar apabila diteguk dan yang paling penting rasanya tidak terlalu manis.