Buntu memikirkan ke mana destinasi mencuba juadah iftar setelah Ramadan menghampiri penghujungnya? Apa kata kali ini ke bazar Ramadan di Wangsa Maju yang menjanjikan variasi hidangan memuaskan tunas rasa.
Durian Goreng
'Laris macam durian goreng panas' mungkin menjadi peribahasa moden terbaru! Pasti rangup di luar dan lembut di dalam jika dimakan panas-panas, sayangnya, ianya Ramadan. RM5 untuk 3 ulas durian goreng agak berbaloi apatah lagi untuk mereka yang penggemar raja buah ini.
Murtabak Maggi
Maggi yang dimasukkan bersama adunan agak terlebih kembang membuatkannya sedikit lembik. Namun rasanya masih boleh diterima, cukup rasa sebagai sekeping murtabak biasa.
Nona Manis
Seakan kuih Tepung Pelita, Nona Manis adalah manisan yang wajib dicuba. Nona Manis Kacang Merah Manis berlemak dengan rasa disertai ketulan kacang merah. Kental tapi lembut, agak kurang manis jika berbanding Tepung Pelita.