Bangsar sememangnya terkenal sebagai bandar elit dimana kebanyakkan penduduknya terdiri daripada orang-orang berada. Oleh itu, harga barang dan makanan di Bangsar sedikit mahal.
Tapi adakah ini bermakna makanan yang dijual di bazar Ramadan Bangsar juga mahal? Jom lihat apa yang boleh dibeli dengan harga RM10 di bazar Ramadan Bangsar dan adakah ia berbaloi.
Mee Jawa (RM5)
Memandangkan tidak banyak gerai yang menjual hidangan ini, JJCM tertarik untuk mencuba.
Kuah Mee Jawa cukup bahan perasa namun agak cair. Size hidangan cukup untuk seorang makan. Namun Mee Jawa ini agak kosong tanpa rencah seperti daging mahupun isi ayam. Hanya cucur dan telur yang menjadi ‘penyeri’ bagi hidangan ini.
Walaupun harga RM5 seakan-akan murah, namun ia tidak berbaloi untuk belanja wang sejumlah itu bagi menikmati Mee Jawa ‘kosong’.
Kuih Tepung Pelita (RM3)
Kuih tradisional ini merupakan kuih favourite setiap kali bulan Ramadan tiba kerana ia lebih mudah didapati pada bulan ini berbanding hari lain.
Keenakkan kuih ini tidak perlu diulas lagi. Rasa manis pandan dan lemak dari santan merupakan satu kombinasi yang cukup sempurna. Berharga RM3 untuk 5 biji kuih tepung pelita, agak berbaloi.
Air Kelapa Bakar (RM2)
Air Kelapa Bakar mula banyak dijual di bazar Ramadan sekitar beberapa tahun lepas. Khasiat daripada minuman ini termasuk seperti mengawal kolesterol, darah tinggi, asid urik dan banyak lagi.
Sepatutnya ia dijual lebih mahal memandangkan ia memiliki khasiat yang begitu banyak. Tapi minuman Air Kelapa Bakar yang dijual di Bazar Ramadan Bangsar ibarat tidak mengandungi satu pun khasiat kerana terlalu manis. Mungkin sebab itu ia hanya berharga RM2.