Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam ini memang popular saban tahun. Satu sebab mengapa ramai yang memilih ke bazar ini adalah kerana kepelbagaian juadah yang ditawarkan.
Apa tidaknya, bazar Ramadan ini menempatkan lebih 100 gerai. Sebut sahaja menu yang anda inginkan, pasti ada di sini.
Bagi yang masih belum berkesempatan singgah di bazar ini, mungkin anda ingin tahu apa menu yang berbaloi untuk dibeli. Jom lihat senarai di bawah.
Nasi Lemak Kukus Utara
Nasi lemak memang all time favourite bagi rakyat Malaysia. Jadi, tidak hairan kalau ramai yang mencari menu ini untuk berbuka. Kalau mahu yang tradisional, boleh beli Nasi Lemak Kukus Utara.
Berharga RM2 setiap bungkus, nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang ini mempunyai beberapa pilihan lauk iaitu ikan masin, kerang, sambal udang, sambal sotong, ayam goreng, ikan bilis, telur dan rendang ayam. Rasanya tidak mengecewakan. Sedap! Sambalnya pun membangkitkan selera. Pedas secukup rasa.
Daging Salai Masak Lomak Cili Api
Menu ini dibeli di gerai D’tratak Masakan Nogori Sembilan. Sebekas kecil berharga RM7. Mungkin bagi sesetengah orang agak mahal, tetapi percayalah anda tidak akan menyesal.
Rasanya memang menyelerakan dan ‘menjadi’. Cuma tekstur daging agak liat. Tetapi ada juga yang lembut. Tahap kepedasan juga tidak melampau dan boleh dinikmati oleh semua orang.
Nasi Padang Asli
Jika mengidam masakan Padang, boleh singgah di Nasi Padang Asli yang dijual di atas trak makanan (food truck).
Bagaimanapun, harga makanan yang ditawarkan agak mahal memandangkan saiz hidangan sangat kecil. Seketul Ayam Berlado berharga RM5. Daging Dendeng, RM5, dan Terung Berlado juga RM5. Semuanya dalam kuantiti kecil, sesuai untuk dimakan seorang.
Tentang rasa, tidak dinafikan memang sedap. Boleh juga dibungkus dengan nasi.
Itik Panggang Syafiq30
Itik panggang yang semakin mendapat perhatian ramai ini memang patut dicuba kerana rasanya sungguh enak. Seekor itik panggang berharga RM36, manakala untuk setengah ekor berharga RM18.
Daging itik panggang ini rasanya lebih enak daripada ayam panggang kerana ianya lebih manis, kenyal. Bahkan, kulitnya juga bebas lemak. Yang pasti, rempah-ratus perapan untuk itik ini jelas terasa.
Durian Crepe (Musang King)
Hidangan pemanis mulut ini hanya berharga RM5 sepeket. Lebih murah berbanding gerai-gerai lain yang turut menjual menu yang sama. Jadi, berbaloilah untuk dibeli, terutama untuk mereka yang berkeluarga besar.
Rasanya boleh tahan, tidaklah terlalu sedap, tetapi boleh memuaskan selera yang sedang lapar.
Selamat berbuka puasa!