The 39 Restaurant di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park menyajikan sajian menu klasik dan masakan antarabangsa untuk Ramadan 2016.
Memilih tema ‘Cetusan Rasa Ramadhan 2016’, bufet Ramadan di sini menyediakan masakan kampung seperti Ketam Masak Lemak Cili Api, Asam Pedas Ikan, Udang Sambal Petai, Kari Kepala Ikan dan masakan panas seperti Sup Gear Box dan Sup Urat Keting.
Bufet Ramadan ini berharga RM139 untuk dewasa dan RM69.90 untuk kanak-kanak.
Sup Gear Box
Selalunya Sup Gear Box menggunakan tulang lutut lembu, tetapi restoran ini memilih tulang lutut kambing untuk hidangan istimewa ini. Daging kambing dimasak sempurna sehingga tiada rasa hamis. Supnya juga menambat selera dengan rempah-ratus secukup rasa. Enak dimakan bersama nasi, roti dan dihirup begitu sahaja.
Ketam Masak Lemak Cili Api
Hidangan ini sebenarnya enak sekali kerana rasa pedas dan lemaknya sempurna, namun agak mengecewakan apabila isi ketam kurang segar. Namun, masih menambat selera terutama kepada mereka yang tidak terlalu cerewet dalam pemilihan makanan.
Udang Sambal Petai
Hidangan ini pasti mencuri perhatian setiap pengunjung restoran ini. Siapa yang tidak tertarik dengan saiz udang yang besar? Mungkin tidak seenak masakan ibu di rumah, tetapi Udang Sambal Petai di sini tidak menghampakan. Isi udang juga segar.
Asam Pedas Ikan
Antara hidangan popular di restoran ini. Makan sekali pasti hendak lagi. Memang sedap kerana kuahnya pekat dan isi ikan tidak terlampau masak. Masih terasa manisnya ikan dan rempah-rempah yang digunakan seimbang. Makan bersama nasi panas memang terbaik!
Kuih-Muih Tradisional Melayu
Jangan lupa ke kaunter pencuci mulut untuk menikmati pelbagai jenis kuih-muih tradisional Melayu. Ada Kuih Lapis, Keria, Seri Muka, Talam, Bingka Ubi, Koci, Kole Kacang, Tepung Pelita dan banyak lagi.