Bertemakan ‘Sajian Nostalgia Bersama Chef’, Cinnamon Coffee House, One World Hotel, Petaling Jaya menawarkan buffet Ramadan yang pelbagai rasa. Bukan terhad kepada sajian tradisi Melayu, malah terdapat juga menu popular bercitarasa antarabangsa.
Dengan harga RM158 bersih untuk dewasa dan RM79 bersih untuk kanak-kanak anda boleh makan sampai puas sehingga jam 10.30 malam.
Bubur Lambuk
Menu popular di bulan Ramadan. Mesti cuba kerana rasanya cukup enak. Kaya dengan pelbagai rasa. Turut disediakan beberapa hidangan sampingan untuk pelengkap rasa seperti kacang goreng, hirisan daging, telur masin, hirisan daun sup dan juga bawang goreng.
Sup Gear Box / Sup Campur
Menu ini mendapat maklum balas yang baik daripada pengunjung di sini. Sebabnya, letusan rasa sup ini memang membuka selera. Lebih-lebih lagi anda boleh memilih isi sup yang diingini. Ada gear box, tulang lembu, daging lembu, kambing, lidah lembu, perut lembu dan juga ayam. Sebagai pelengkap rasa, jangan lupa letakkan sedikit sambal kicap untuk nikmat pedas.
Sate Ayam & Daging
Siapa yang tidak sukakan sate? Menu ini juga menambat selera. Perapan daging lembu dan ayam menggembirakan suapan demi suapan. Sedap sebab ia penuh rasa dan dagingnya lembut. Paling penting kuah kacangnya menyelerakan. Kacangnya yang dikisar kasar memberi rasa ranggup.
Ulam-Ulaman Tradisional
Bagi pencinta ulam-ulaman, jangan lupa jenguk kaunter ulam-ulaman. Ada macam-macam yang boleh dijadikan pilihan untuk pelengkap hidangan nasi. Ada petai, jering, daun ulam raja, kacang botol, timun, terung bakar dan tidak ketinggalan, ikan masin.
Kuih-Muih Tradisional
Ada banyak kuih tradisional yang tersedia. Antaranya Kuih Koci, Kasturi, Tepung Talam, Kuih Kacang, Kuih Lapis dan Cucur Badak. Kalau hendak menikmati kesemuanya agak sukar, jadi pilih kuih yang menjadi kegemaran. Lebih-lebih lagi yang susah hendak dicari pada hari-hari biasa.