Lebih 200 masakan disediakan pada bulan Ramadan bermula 13 Jun hingga 2 Julai 2016 di Restoran LINK, Hotel Pullman Bangsar. Bertemakan ‘Selera Kampung’, antara tarikan yang terdapat di buffet buka puasa ini termasuk Asam Pedas Claypot, Gulai Kawah, Kambing Golek dan banyak lagi hidangan tradisional.
Berharga RM140 seorang, pengunjung juga boleh menikmati aiskrim Turki sambil melihat gaya nakal si pembuat aiskrim Turki yang dijemput khas, mengusik pengunjung. Lebih menarik, durian turut disediakan buat mereka yang ‘gila’ durian! Untuk tempahan, hubungi 03-22981888.
Masak Lemak Siput Sedut
Tema ‘Selera Kampung’ sangat bersesuaian memandangkan hidangan tradisi Negeri Sembilan ini begitu enak. Rasa gulai lemaknya sedikit pedas dan siput juga dicuci bersih dan dimasak sempurna. Sepatutnya, hidangan ini yang menjadi highlight bagi buffet Ramadan ‘Selera Kampung’.
Asam Pedas
Hidangan yang ingin diketengahkan oleh Pullman Bangsar. Namun, menu ini biasa-biasa saja. Masih dalam kategori enak kerana ikan yang digunakan segar dan banyak sayur, namun rasanya agak kurang kick!
Kambing Bakar
Apa lagi yang perlu diulas tentang hidangan ini kerana ia pasti menjadi rebutan pengunjung yang menikmati juadah buka puasa di Pullman Bangsar. Yang menariknya, kuah lada hitam yang dihidang bersama kambing bakar ini cukup rasa dan sesuai dinikmati bersama daging kambing.